Khamis, 30 Julai 2009

Mari Belajar Ilmu Fikah

Alhamdulillah, setelah khatamnya kitab Tafsir Al-Munir Juzuk 30, kini Ustaz Zuridan menyambung kuliah mingguannya (setiap hari rabu) dengan kitab baru iaitu Kitab Fikah Mazhab Shafie bermula pada 29 Julai 2009.

Oleh itu, pihak AJK surau mengalu-alukan kehadiran semua penduduk Perkampungan Indera Sempurna dan jemaah yang berada diluar perkampungan ini untuk sama-sama mempelajari dan mendalami ilmu fikah ini. Buku ini boleh didapati di kedai-kedai buku utama di Kuantan seperti Darul Ansar dan Kedai Ayah Ngah.



Mukaddimah...





Atas Nilai Kasih Sayang



Keprihatinan penduduk perkampungan Indera Sempurna terhadap tingkahlaku anak-anak remaja telah membawa kepada satu sesi dakwah oleh beberapa AJK Surau dan Wakil KRT Fasa 2 di sebuah rumah teres di sini. Ketika lawatan dibuat, terdapat beberapa remaja lelaki dan perempuan sedang mengadakan sesi latihan tarian bagi persembahan di sebuah kolej berhampiran.

Pengerusi Surau, Ustaz Zuridan memberikan teguran dengan cara yang lemah lembut menyatakan bahawa kedatangan kami bukanlah bertujuan untuk memarahi mereka tetapi atas dasar kasih sayang terhadap anak-anak remaja kita agar tidak terpesong daripada landasan agama. Nilai-nilai kejiranan juga disentuh oleh ustaz agar menjaga keselesaan dan keharmonian tetangga. Nasihat yang sama turut diberikan oleh Wakil KRT Fasa 2, En. Hanafi.



Timbalan Pengerusi Surau, Ustaz Joha telah memberikan gambaran bagaimanakah perasaan ibu bapa sekiranya mereka melihat perkara-perkara seperti ini dilakukan oleh anak-anak mereka sendiri.

Semoga usaha seperti ini akan menjadi iktibar kepada semua penduduk perkampungan ini dan kepada anak-anak remaja kita. Usaha seperti ini perlu dilakukan secara bersama dan bukannya bergantung atas bahu imam atau ustaz semata-mata.

Marilah kita berasama-sama menasihati anak-anak remaja sekiranya mereka ini melakukan kesalahan dengan cara yang berkhikmah dan dengan kasih sayang. Mudah-mudahan Allah S.W.T akan memberikan hidayah kepada mereka. Kita hanya menyampaikan, mereka yang menilai dan Allah S.W.T. yang memberi hidayah.

Isnin, 27 Julai 2009

Program Perdana KRT mendapat sambutan


Program Perdana anjuran KRT pada 25 Julai 2009 yang lalu mendapat sambutan menggalakkan dari penduduk Indera Sempurna. Pelbagai acara di adakan seperti pertandingan memamasak, melukis dan gotong-royong yang disertai oleh pelatih PLKN Penor. Pengerusi KRT Sarjan Mejar Awang berterima kasih di atas sokongan penduduk dan berharap pada masa akan datang program anjuran KRT mendapat sambutan lebih meriah.




Buah Tangan Daripada Pengerusi Surau, Ustaz Zuridan




TAJUK : BINGKISAN RAMADAN

PENULIS : ZURIDAN MOHD DAUD

ISBN : 978-983-44519-5-0

M/SURAT : 140 M/S

HARGA : SEM MALAYSIA : RM 20.00
SABAH & SARAWAK : RM 20.00




SINOPSIS

BINGKISAN RAMADAN- buku ini mengandungi 29 bingkisan sebagai buahtangan untuk dijadikan panduan menghidupkan budaya ilmu di bulan Ramadan khususnya. Ia turut mengandungi peringatan-peringatan yang boleh menginsafkan tentang kelebihan bulan Ramadan dan amalan-amalan yang elok dilakukan sepanjang bulan ramadan. Buku ini boleh menjadi panduan tazkirah untuk seisi keluarga dan juga amat sesuai digunakan oleh para pendakwah sebagai panduan di dalam menyampaikan mesej dakwah kepada orang ramai.

Ahad, 26 Julai 2009

Projek Bumi Hijau Indera Sempurna Ke Peringkat Kebangsaan

LORONG IS 18- Sebahagian penduduk Perkampungan Indera Sempurna di Lorong IS 18 telah berjaya mendapat Johan bagi Projek Bumi Hijau Peringkat Negeri anjuran Jabatan Pertanian Daerah Kuantan. Kini semua peserta sedang bertungkus lumus membuat persedian untuk pertandingan peringkat kebangsaan pula iaitu pada 29 Julai ini.

Penyelaras projek, En. Md. Amin Bin Sarju berkata, pada peringkat awalnya hanya beberapa penduduk di lorang ini yang mengambil bahagian. Walaubagaimanapun, apabila lawatan dibuat oleh Pegawai daripada Jabatan Pertanian dan pemerhatian terhadap hasil yang kreatif, beliau meminta supaya projek ini diperluaskan lagi.

Menurut En. Md. Amin, Perkampungan Indera Sempurna telah mendapat Johan bagi kategori komuniti seterusnya dipilih untuk ke peringkat kebangsaan. Menurut beliau lagi, tujuan utama ialah untuk memupuk semangat kejiranan antara penduduk, semangat berbudi kepada tanah dan juga mewujudkan satu aktiviti pertanian yang berfaedah. Pelbagai jenis tanaman dapat diperhatikan daripada jenis buah sehinggalah tanaman sayuran dan herba serta ternakan ikan dalam kolam. Semoga dengan usaha gigih semua peserta ini akan membuahkan hasil dengan mendapat johan pada peringkat kebangsaan nanti.

Walaupun artikel ini berbentuk komuniti, adalah wajar juga disiarkan dalam blog surau kerana Islam sendiri menganjurkan perlunya menjaga hubungan baik sesama jiran tetangga. Disamping itu juga, kita perlulah bersyukur dengan nikmat yang telah Allah berikan kepada kita antaranya nikmat ilmu pertanian, ilmu mengenal tumbuhan, ilmu penanaman dan penjagaan pokok dan ternakan. Semoga dengan projek ini akan menjadi contoh kepada penduduk Indera sempurna seluruhnya.

Sambil-sambil bersembang dengan penyelaras projek, sempat jugalah mengajak peserta untuk datang ke Surau Fatimah Az-Zahra untuk solat berjemaah dan mendengar kuliah. InsyaAllah mudah-mudahan sama-sama mendapat hidayah daripada Allah dan perkampungan kita ini dilindungi daripada sebarang berkara yang tidak diingini.

JOM KE SURAU!!!
















*Klik pada gambar untuk besarkan.

Rabu, 22 Julai 2009

Pembangunan Surau


Alhamdulillah hasil sumbangan dari hamba Allah yang dermawan surau kita semakin membesar. InsyaAllah sebelum Ramadhan projek yang sedang rancak berjalan akan siap bagi menampung jumlah jamaah yang pastinya bertambah di bulan Ramadhan akan datang. Semoga Allah Taala memberkati dan menambahkan lagi rezeki dermawan tersebut.

Ahad, 12 Julai 2009

Forum Al-Muqarrabin

Alhamdulillah… Dengan anjuran bersama Radio Malaysia Pahang (Pahang FM) dan Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, Surau Fatimah Az-Zahra telah berjaya mengadakan satu Forum Al-Muqarrabin dengan Tajuk Forum kali ini “Iktibar Daripada Peristiwa Isra’ dan Mikraj". Forum ini dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Surau, Ustaz Joha dengan ahli panelnya terdiri daripada Ustaz Hamdan Yusi Bin Yusof (Tuan Khadi Daerah Kuantan), Ustaz Azhar Bin Jaafar (Pensyarah Kolej IKIP) dan juga pengerusi surau, Ustaz Zuridan yang juga pensyarah UMP. Ketiga-tiga ahli panel telah membincangkan dengan panjang lebar berkenaan tentang sejarah dan kepentingan peristiwa Isra’ dan Mikraj serta hubungannya dengan ibadat solat dan pendidikan Ummah. Adalah diharapkan hasil daripada forum ini, dapatlah kita memahami tentang kepentingan peristiwa Isra’ dan Mikraj dan juga anugerah ibadat solat yang mempunyai kelebihan tersurat dan tersirat. Pihak AJK Surau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada RTM, Pahang FM, Jabatan Agama Islam Negeri Pahang , ahli panel dan semua para hadirin terdiri daripada penduduk Indera Sempurna dan yang datang daripada luar kerana bersama-sama menjayakan Forum Al-Muqarrabin Ini. Terima kasih juga diucapkan kepada Pengerusi KRT, En Awang yang telah memberikan sumbangan dan juga Ayah Ngah (Pahang FM) yang telah merakamkan forum ini yang dijangka akan disiarkan pada 23 Julai 2009 jam 10 Malam di Pahang FM. Pihak urusetia forum ingin memohon maaf sekiranya terdapat kelemahan atau ada perkara-perkara yang terlepas pandang untuk menjadikan forum ini berjalan dengan baik dan lancar. Sekiranya tedapat komen atau teguran bolehlah dituliskan dalam ruang komen dalam blog ini supaya sama-sama dapat menambah baik kelancaran program-program surau dimasa akan datang. Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan CD rakaman forum ini dan juga koleksi rakaman kuliyah maghrib, bolehlah menghubungi En. Redhuan (Biro Penerbitan).

Ceramah Ustaz Zuridan Bhg.1



Kepimpinan Melalui Tauladan