Rabu, 7 Oktober 2009

Kecurian Duit Tabung Surau

Assalamualaikum;

Sedang menyambut hari raya 'idul fitri baru-baru ini, saya dikejutkan dengan kejadian pecah tabung surau di Surau Fatimah Az-Zahra. Kejadian diyakini berlaku pada hari raya ke 5-6. Rasa bersalah mula menyelubungi diri ini, apakan tidak saya memegang amanah sebagai bendahari surau gagal memastikan tabung itu dikosongkan terlebih dahulu sebelum pulang berhari raya pada saat-saat terakhir. Bagaimanapun, saya ada mengeluarkan duit dari tabung tersebut sebanyak RM750.10 pada tarikh ke 20 Ramadhan. Anggaran kerugian mungkin mencecah RM100.00. Walaupun tidak banyak, tetapi sekurang-kurangnya boleh digunakan untuk membayar bil-bil semasa surau.



Tabung Di Ruang Solat Muslimat


Tabung Di Ruang Solat Lelaki
Terdapat tiga tabung yang disediakan di surau, satunya tabung di dalam ruang solat lelaki dan keduanya di dalam ruang solat wanita dan tabung ketiganya berada diluar koridor. Dua tabung diruangan solat lelaki dan wanita telah dipecahkan, pencuri meninggalkan duit syiling sekitar RM1.00 setiap tabung. Malang bagi pencuri, tabung yang berada di luar koridor tidak berjaya dipecahkan mungkin kerana tabung tersebut amat kukuh buatannya (kotak syiling pondok telefon awam).



Ini kaedahnya memecah tabung



Tabung hijau ini tidak berjaya dipecahkan

Kesucian surau sebagai tempat beribadah nampaknya tidak memberi apa-apa kesan pertimbangan hati dalam diri si pencuri. Jika si pencuri seorang budak-budak sekolah, itu menandakan tiada didikan rohani yang diberikan kepadanya oleh ibubapa. Jika si pencuri seorang dewasa, itu menandakan jiwanya sudah mati hanya Allah Ta'ala sahaja yang mampu menghidupkannya kembali. Semoga Allah Ta'ala mengampuni dosanya.
Peringatan buat si pencuri, duit atau harta yang kamu dapati daripada mencuri adalah haram hukumnya. Setiap yang haram masuk ke dalam perut mu akan menghitamkan hati kamu dan sukar untuk mendapat hidayah-Nya. Balasannya disisi Allah Ta'ala adalah neraka, api yang menyala-yala dan menyambar. Namun Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani akan hamba-hamba-Nya, maka dibuka-Nya pintu taubat bagi mereka yang mahu menginsafi akan diri sendiri dan menjauhi amalan haram seperti mencuri. Ketahuilah, seorang yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat maka dia diumpamakan seperti orang yang tidak pernah melakukan dosa. Maka apabila mati menjemputnya jadilah ia dikalangan orang-orang yang bertaubat yang balasannya adalah syurga.
Wassalam