Isnin, 14 September 2009

Ayuh Sahut Seruan Beramar Ma'aruf dan Nahi Mungkar

Assalamualaikum;

Dalam tazkirahnya pada malam 25 Ramadhan, Al-Ustaz Zuridan Mohd Daud selaku pengerusi Surau Fatimah Az-Zahra memberi peringatan kepada kita semua penduduk Taman Indera Sempurna akan kepentingan berbuat ma'ruf dan mencegah kemungkaran. Saya bukanlah orang yang terbaik untuk mengulang kembali apa yang disampaikan oleh Al-Ustaz. Namun,sebagai tanda sokongan terhadap Al-Ustaz dalam isu ini, saya mengajak sekali lagi agar dapat kita realisasikan kehendak Al-Ustaz dan umumnya apa yang dituntut dalam Islam tentang kewajipan ini yang semakin dipandang ringan oleh sebahagian daripada kita.

Ketahuilah saudaraku, bahawa Allah Ta'ala menjanjikan kebaikan dunia dan akhirat terhadap umat ini, khususnya penduduk Indera Sempurna hanya apabila kita menunaikan kewajipan beramar ma'ruf dan nahi mungkar. Kebaikan yang selama ini kita harap dan cari selama ini rupanya bukan hanya semata-mata kerana kita telah beriman dengan Allah Ta'ala begitu sahaja tetapi ianya juga terletak dalam amalan, antaranya amalan amar ma'ruf dan nahi mungkar. Demikianlah firman Allah Ta'ala:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ
“Kamu adalah umat terbaik dikeluarkan kepada manusia , kamu menyuruh melakukan perkara ma’ruf dan kamu menegah daripada kemungkaran dan kamu beriman dengan Allah” – Al-Imran:10.
Ayat diatas difahami bahawa Allah Ta'ala mengaitkan kebaikan sesuatu umat itu dengan amalan amar ma'ruf nahi mungkar dengan keimanan pada Allah. Kemudian Allah Ta'ala juga menentukan kejayaan kita dunia dan akhirat apabila terdapatnya dikalangan kita orang yang mendirikan amalan amar ma'ruf dan nahi mungkar didalam masyarakat.
Bermaksud jika ada sebahagian daripada kita menjalankan kerja dakwah menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran hendaklah kita menyokong daripada segala aspek yang termampu oleh kita bermula dari kuasa mencegah yang ada pada sebahagian kita, dan keupayaan berinteraksi dengan kaedah teguran yang berhikmah dan paling tidak, adanya menaruh perasaan benci terhadap kemungkaran yang berlaku itu sudah cukup membuatkan kita mengecapi kejayaan yang dijanjikan Allah Ta'ala.
Kebencian dalam hati kepada perbuatan mungkar menurut ulama adalah wajib hukumnya kerana ianya adalah natijah kepada keimanan. Kerana amalan walaupun sebesar zarah akan dipersaksikan dan keimanan yang sebesar zarah pastinya mendapat tempat disisi Allah Subhanahu wa Ta'ala. Bila tiada kebencian itu sudah cukup membuktikan keimanan sudah hilang dalam hati kita.Wal'iya dzubillahmin dzalik.
Ini kerana antara sifat-sifat seorang mukmin dan mukminat adalah membiasakan diri dengan amalan ini sebagaimana firman Allah Ta'ala:
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka ta'at pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.- Surah At-Taubah:71
Dalam hal ini, kewajipan beramar ma'ruf dan nahi mungkar bukan sahaja terletak dibahu kaum lelaki, malah perlu mendapat dokongan daripada kaum wanita. Masing-masing berupaya menampung setiap inci daripada ruang kelemahan yang ada pada setiap diri mereka. Hendaklah kaum wanita juga memainkan peranan ini, sebagai isteri, ibu dan kawan-kawan kepada wanita lainnya. Allah Ta'ala juga mengaitkan rahmat kasih sayang-Nya kepada sesuatu umat selama mana umat itu tetap mendirikan amar ma'ruf dan nahi mungkar. Apabila hilangnya kewajipan ini pada setiap dikalangan kita maka kita akan berada jauh daripada rahmat Allah Ta'ala sebagaimana yang berlaku kepada kaum Bani Israel terdahulu.
Ketika kemungkaran berleluasa tiada mereka saling menegah dan tiada mereka endahkan bahkan mereka menganggap kemungkaran itu sebagai kebaikan, dan kebaikan itu pula dianggap kemungkaran disisi mereka, kebaikan adalah sesuatu yang asing dan malah lebih teruk mereka membela akan kemungkaran itu. Membela kemungkaran adalah sifatnya orang-orang yang kufur dikalangan Bani Israel, sedihnya inilah yang berlaku pada hari ini. Semoga kita dijauhi dari laknat Allah Ta'ala.
Seruan ini tidak lain tidak bukan selain daripada suruhan Allah Ta'ala ianya bertujuan menaikkan ketinggian dan kemulian umat Islam dikala kita menerima penghinaan dan dipandang rendah oleh mereka yang sememangnya tidak mahu melihat kebaikan, kejayaan, dan rahmat kasih sayang daripada Allah Ta'ala tertimpa ke atas kita.Firman Allah Ta'ala:
فَلَوْلاَ كَانَ مِنَ الْقُرُونِ مِن قَبْلِكُمْ أُوْلُواْ بَقِيَّةٍ يَنْهَوْنَ عَنِ الْفَسَادِ فِي الأَرْضِ إِلاَّ قَلِيلاً مِّمَّنْ أَنجَيْنَا مِنْهُمْ وَاتَّبَعَ الَّذِينَ ظَلَمُواْ مَا أُتْرِفُواْ فِيهِ وَكَانُواْ مُجْرِمِينَ
" Maka mengapa tidak ada dari umat-umat yang sebelum kamu orang-orang yang mempunyai keutamaan yang melarang daripada berlaku kerosakan di muka bumi, kecuali sebahagian kecil di antara orang-orang yang telah Kami selamatkan di antara mereka, dan orang-orang yang zalim hanya mementingkan kenikmatan yang mewah yang ada pada mereka, dan mereka adalah orang-orang yang berdosa" - Surah Hud:116.
Ayuh ! Mari kita jalankan kewajipan ini dan beristiqamah padanya. Jika kita jaga Allah nescaya Allah menjaga kita, jangan takut kepada ugutan dan cercaan musuh daripada kalangan jin dan manusia, kerana sesungguhnya Allah Ta'ala akan membalas ugutan dan cercaan mereka. Ketahuilah balasan Allah itu lebih dahsyat daripada apa yang kita dan mereka fikirkan.
Wassalamu'alaikum.

Tiada ulasan: