Isnin, 24 November 2008

Kelab Remaja Surau

Berdasarkan sambutan kepada Kem Ibadah Remaja yang baru dijalankan pihak Surau Fatimah Az-Zahra telah menubuhkan Kelab Remaja Surau sebagai satu platform untuk menjalankan aktiviti-aktiviti bermanfaat bagi remaja-remaja di Taman Inderasempurna khususnya. Antara aktiviti yang dirancang ialah Kembara Remaja, Kem Remaja, kursus, qiamullail, usrah, riadhah dan sebagainya. Kelab Remaja Surau juga akan menubuhkan team badminton Az-Zahra Junior bagi menggalakkan remaja-remaja memenuhi waktu mereka dengan aktiviti bermanfaat.

Jumaat, 21 November 2008

Kem Ibadah Remaja 08




Ajk Surau sedang bertungkus lumus melakukan persiapan






Pada 21 & 22 Nov 2008 yang lalu ajk surau telah berjaya menganjurkan program Kem Ibadah Remaja (lelaki). Alhamdulillah seramai 31 orang remaja berumur 10 - 15 tahun telah menyertai program ini. Aktiviti dimulakan dengan solat Maghrib kemudian diikuti dengan ceramah tentang bersuci dan berwudhuk oleh Ustaz Yazid. Selepas solat Isyak dan makan malam para peserta mengikuti ceramah motivasi yang disampaikan oleh Ustaz Joha. Pada pukul 5 pagi qiamullail diadakan dan selepas solat subuh peserta mengikuti riadah. Selepas sarapan pagi ceramah di sambung dengan tajuk 'Solat' dan selepas itu semua peserta melakukannya secara praktikal. Kem Ibadah ini diakhiri dengan gotong royong dan majlis penutup oleh Ustaz Zuridan. Insyallah selepas ini pihak ajk merancang mengadakan Kem di Bekelah pula....





Khamis, 6 November 2008

Team Badminton Surau adakan 'Friendly' dengan Team UMP

Pada 1 November 2008 Team Badminton Az-Zahra telah mengadakan perlawanan muhibbah dengan Team UMP dengan keputusan Team UMP menang tipis.





Ahad, 2 November 2008

Ajk buat kebajikan membantu Armalah

Pada 26 Oktober 2008 (petang Ahad) yang lalu Ajk Surau Fatimah Az-Zahra dan beberapa ahli jamaah telah mengadakan lawatan singkat ke rumah armalah (janda) kepada arwah Lan Tukang bagi menyampaikan sumbangan derma kepadanya. Ajk surau juga telah berbincang dengannya bagaimana cara untuk mendapatkan sumbangan pelajaran anak-anak arwah samada dari pihak sekolah, zakat dan Yayasan Pahang. Semoga Allah Taala meringankan beban beliau dan sentiasa diberkati olehNya.
En Soleh bertanyakan khabar
Cikgu Bakar, Ustaz Joha dan En Tajuddin mendengar masalah yang dihadapi oleh Ustazah Wan Fazilah


Khamis, 9 Oktober 2008

PETUNJUK DAKWAH

Antara perkara yang perlu diingat oleh para pendakwah, ustaz dan penceramah bahawa Islam yang dibawa oleh Nabi s.a.w bukan hanya berkembang dengan syarahan semata. Dalam erti kata lain apabila diundang ke majlis ceramah, ingatkan dalam hati bahawa kedatangan ke majlis tersebut bukan hanya untuk bersyarah tetapi lebih utama dari itu ialah muamalah atau pergaulan. Nabi s.a.w telah menunjukkan bagaimana melalui pergaulanlah Islam dalam menerobos ke pelusuk hati si kafir. Baginda akan duduk bersama, bercerita, berbual, memberikan sentuhan-sentuhan fizikal yang sekaligus mencetuskan kekaguman kepada sahsiah baginda s.a.w. Kecenderungan sesetengah pendakwah mempertajamkan kemahiran pidato tetapi mengabaikan aspek kemahiran muamalah boleh memberikan impak negatif kepada dakwah itu sendiri. cuba lihat sekeliling kita, kedapatan para pendakwah yang tidak mesra pergaulan, tidak mesra jiran, garang, berkata kasar, cepat menghukum, besar diri, sukar di dampingi dan sebagainya.

Firman Allah Taala:

فبما رحمة من الله لنت لهم ولو كنت فظا غليظ القلب لانفضوا من حولك . آل عمران 159

Maksudnya: (( Maka disebabkan rahmat dari Allah-ah kamu berlaku lemah Lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap kasar lagi berkeras hati, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu )).

Alangkah eloknya jika seorang pendakwah itu, di samping hebat berpidato, ia juga mudah mendekati remaja-remaja lepak, senang menghadiri aktiviti gotong-royong, cepat menziarahi orang-orang sakit, bersedia memberikan nasihat, prihatin kepada golongan susah, terbuka mendekati orang kafir dan sebagainya. Pastinya dengan muamalh hasanah seperti ini dakwah Islam akan lebih cepat berkembang!

Rabu, 8 Oktober 2008

SOLAT HAJAT PMR 2008

Pihak Surau Fatima Az-Zahra akan mengadakan Solat Hajat bagi mendoakan kejayaan anak-anak Qaryah dalam peperiksaan PMR yang semakin hampir. Program Solat Hajat tersebut akan diadakan seperti berikut:

Tarikh : 9 Oktober 2008.
Masa : 7.00pm -8.30pm
Aktiviti :
Solat Maghrib.
Bacaan Yasin.
Solat Isyak.
Solat Hajat.

Semua Muslimin dan Muslimat dijemput hadir.

Ahad, 21 September 2008

LAILATUL QADR

’Lailatulqadar’ dianggap malam yang sangat istimewa kerana ia dinamakan sendiri oleh Allah Taala di dalam Al-Quran. Kemudian Allah Taala telah mengkhususkan satu surah dengan nama Surah Al-Qadr yang menunjukkan istimewanya malam tersebut.

Firman Allah Taala yang bermaksud: (( Sesungguhnya Kami telah menurunkannya di malam Al-Qadr. Apakah kamu tahu apa itu malam Al-Qadr? Malam Al-Qadr adalah lebih baik dari seribu malam. (Pada malam tersebut) Para Malaikat dan Al-Ruh (Malaikat Jibrail) turun padanya dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah malam tersebut sehingga terbit fajar )). Surah Al-Qadr:1-5.

Surah Al-Qadr ini merupakan Surah Makkiyyah iaitu diturunkan di Mekah dan merupakan surah ke 25 menurut turutan surah-surah Al-Quran. Mujahid r.a. telah meriwayatkan sebab turun ayat ini di mana Nabi s.a.w telah diceritakan tentang kisah seorang lelaki Bani Israel yang memikul pedang berjuang di jalan Allah selama 1000 bulan. Lalu baginda s.a.w rasa dukacita atas umur umat yang pendek lalu turunlah surah ini.

Surah ini menceritakan tentang al-Quranul Karim yang diturunkan oleh Allah Taala secara keseluruhannya pada malam yang dinamakan dengan Al-Qadr. Makna Al-Qadr di dalam surah ini ialah hukum, tadbir atau ketentuan. Apa yang dimaksudkan di sini ialah pada malam tersebut Allah menentukan takdir dan ketentuan sesuatu perkara sepertimana yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas r.a. Malam Al-Qadr juga bermaksud suatu malam yang mulia dan mempunyai kedudukan yang sangat tinggi. Allah Taala menyatakan bahawa malam Al-Qadr adalah lebih baik dari seribu bulan. Apa yang maksudkan ialah nilai kelebihan bagi mereka yang beramal di malam tersebut menyamai ibadat selama 1000 bulan. 1000 bulan menyamai 82 tahun. Ayat ini memberitahu bahawa erti dan nilai kehidupan bukanlah selama mana kita dapat hidup tetapi nilai umur seseorang ialah bagaimana ia dimanfaatkan sepenuhnya. Seseorang yang beribadah meskipun umurnya pendek adalah lebih mulia dari seorang yang umurnya lanjut tetapi jauh dari Allah Taala.

Malam Al-Qadr jika diisikan dengan ibadah maka nilaiannya seperti beribadah selama 82 tahun, itu jika dihidupkan sekali sahaja. Cuba kira jika dilakukan sepuluh malam al-Qadr, ia menyamai beribadah selama 820 tahun! Di hujung ayat ini Allah Taala mengakhirinya dengan perkataan ’Salam’ yang bermaksud sejahtera. Iaitu orang yang menghidupkan malam tersebut akan mendapat kesejahteraan yakni ganjaran syurga dari Allah Azza Wajalla. Sabda Nabi Muhammad s.a.w:

مَـنْ قـَامَ لـَيْلـَة َ القـَدْرِ إيْمَاناً وَاحْتِسَاباً غـُفِرَ لـَهُ مـَا تـَقـَدَّمَ مـِنْ ذَنـْبـِهِ

Maksudnya: Barangsiapa mendirikan Lailatul Qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan diampunkan dosanya yang telah lalu. Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Mencari malam Al-Qadr bukanlah dengan berjaga sahaja, atau beribadah pada hari-hari tertentu sahaja. Tetapi ia hendaklah dilakukan secara istiqomah bermula dari malam pertama Ramadan. Pencarian ini juga mestilah dilandaskan kepada niat yang ikhlas yakni mahu mendapatkan redha Ilahi dan bukannya kerana mahu menebus dosa kemudian kemudian melakukannya.

Berkenaan dengan tanda-tanda Lailatul Qadr antaranya ialah:

1) Malam tersebut terang dan bercahaya.
2) Ketenangan malam yang dapat dirasai oleh mereka yang beriman.
3) Angin bertiup lembut.
4) Ada yang bermimpi menemui malam Lailatul Qadr pada malam tersebut.
5) Rasa kelazatan ibadah yang berbeza pada malam tersebut.
Matahari terbit pada fajar keesokannya dengan kesuraman cahaya dan cerah tidak seperti hari-hari lain. Ubay bin Ka’ab meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w bersabda:

أنـَّهَا تـَطـْلـَعُ يـَوْمَئِذ ٍ لا شِعَاعَ لـَهَا

Maksudnya: Ia (tanda Lailatul Qadr) ialah matahari terbit tanpa cahaya yang terlalu terang. Hadis riwayat Imam Muslim.

Berdasarkan kelebihan Lailatul Qadr tersebut maka marilah sama-sama kita mencarinya dengan bersungguh-sungguh dihujung Ramadan yang mulia ini. Kerana kita belum pasti jika Lailatul Qadr tahun ini terlepas apakah kita masih hidup untuk mencarinya pada bulan Ramadan tahun akan datang.

Rabu, 13 Ogos 2008

SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN 1429H


Dengan ketibaan Ramadan al-Mubarak ini di ucapkan : Selamat Menyambut Ramadan dan Kullu 'Am Wa Antum Bikhair

Isnin, 11 Ogos 2008

Kenduri Sambutan Ramadan 1429H

Surau Fatimah Az-Zahra telah mengadakan Majlis Kenduri Sambutan Ramadan 1429H yang telah berlansung pada hari Ahad 10 Ogos 2008. Program ini dimulakan dengan aktiviti gotong royong pada pukul 8.30pagi kemudian menyembelih kambing dan memasak pada pukul 2.30tgh, kemudian diikuti dengan solat Maghrib, ceramah persediaan puasa, solat Isyak, mesyuarat Ramadan dan diakhiri dengan jamuan kenduri. 2 ekor kambing telah disembelih untuk jamuan kenduri. Meskipun hujan lebat seblum maghrib namun jumlah kehadiran adalah memuaskan.

Mesyuarat Ramadan telah memutuskan untuk menyediakan jadual Imam & Bilal, majlis berbuka puasa, moreh dan pungutan derma rumah ke rumah bagi menyiapkan ruang solat di bahagian depan surau.
Terima kasih diucapkan kepada semua ajk surau dan ahli qariah yang ikhlas membantu menjayakan majlis ini. Tanpa sokongan dan kesediaan bekerjasama majlis ini tidak akan berjaya. Juga terima kasih kepada muslimat yang membantu menjayakan program yang sederhana tetapi meriah ini.
Haji Nordin tengah diskus dengan kambing...bahagian mana nak potong dulu

En Wan Syamsul tengah khusyuk melapah
Muslimat juga membantu

Khamis, 31 Julai 2008

Jom La Ke Surau

Nabi s.a.w bersabda: "Tiada solat bagi orang yang berjiran dengan masjid melainkan di masjid". Justeru marilah sama-sama kita mengimarahkan surau kita. Jadikanlah kenderaan yang dimiliki untuk membawa kita ke rumah Allah. Dia yang kurniakan rezeki tetapi kenapa kita lupa kepadaNya.
Jadilah ahli surau, mudah-mudahan ia menjadi saksi kesyukuran kita kepada bermacam nikmatNya yang dikurniakan kepada kita....
Jom la ke Surau!!!!

CERAMAH ISRA & MIKRAJ

Tarikh : 1 Ogos 2008/ Jumaat.
Masa : Selepas Solat Maghrib.
Tempat : Surau Fatimah Az-Zahra, Inderasempurna.
Penceramah Jemputan :
Al-Fadhil Ustaz Nawi bin Deraman
Pendakwah Sepenuh Masa

Semua Dijemput Hadir..dan tolong hebohkan!

Selasa, 17 Jun 2008

CERAMAH BULANAN

Surau Fatimah Az-Zahra akan mengadakan ceramah bulanan seperti berikut:

Tarikh : 19 Jun 2008
Hari : Khamis.
Masa : Selepas Maghrib.
Tajuk : Rezeki Halal.
Penceramah :
Al-Fadhil Ustaz Ahmad Shukri Mohd Sudin
Ijazah Sarjana Muda Peradaban Arab Univ Mu'tah, Jordan
Guru Sekolah Men Agama Al-Ehsan, Kuantan.

SEMUA KAUM MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DI JEMPUT HADIR

Jumaat, 6 Jun 2008

MAJLIS PERPISAHAN

























Surau Fatimah Az-Zahra kehilangan dua orang tonggak utama menggerakkan surau apabila Encik Mizi dan Encik Mohd Nazri berpindah keluar dari taman Inderasempurna. En Mizi telah berpindah ke Bukit Setongkol manakal En Nazri pula berpindah ke Johor kerana tugas. Kedua-dua sahabat ini merupakan orang yang banyak menggerakkan surau dengan sumbangan tenaga dan wang ringgit di samping kedua-duanya menjadi bilal surau khususnya di waktu subuh. Semoga Allah Taala merahmati meraka berdua dan keluarga.

Pada hari Khamis 5 Jun 2008 selepas waktu Isyak pihak AJK surau telah mengadakan majlis perpisahan ringkas dan jamuan di Restoran Arif Tmn Inderasempurna.

Khamis, 15 Mei 2008

Usrah Bulan Mei




Usrah bulanan Surau Fatimah Az-Zahra akan diadakan pada 16 Mei 2008 hari Jumaat ini Insyallah.

Selasa, 1 April 2008

Saudara Hamizi Ke Tanah Suci


Untuk makluman semua, sahabat kita saudara Hamizi 'Lawyer' telah berlepas ke Tanah Suci Mekah pada 16 April 2008 yang lalu bagi menunaikan Umrah. Marilah sama-sama kita doakan agar Allah Taala menerima ibadahnya dan memperkenankan doa serta segala hajatnya. Semoga beliau selamat pulang ke tanah air untuk bertemu isteri dan anak2 tercinta. Amin!!!!!

Usrah Bulan Mei

Assalamualaikum.
Kepada ahli Jamaah surau yang mahu menawarkan rumah untuk usrah bulan Mei depan bolehlah maklumkan kepada Ustaz Yazid.

Biro Sukan & Rekreasi







Team badminton Az-Zahra Inderasempurna sekali lagi mengadakan sesi riadhah di dewan orang ramai Inderapura. Semoga riadhah inipun jadi ibadah selagi pemain-pemain menjaga batasan syariat Allah Taala. Kepada penduduk Inderasempurna yang nak join team ni boleh mendaftarkan diri dan membayar yuran RM15 sebulan. Jadual riadhah ialah setiap Ahad dan Rabu 9.30malam. Dan jangan lupa masa bermain hendaklah tutup aurat! Sebelum tu solat Isyak dulu kat surau.




Gambar: Sessi riadhah...
Assalamualaikum.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul kali pertama Taman Inderasempurna pada 30 Mac 2008 yang lalu sangat meriah kerana disertai oleh pelbagai pihak. Antaranya ialah KRT, KAFA, Tadika Islam Abim dan juga orang ramai.
Saya mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa penganjur yang bertungkus lumus menjayakan program ini. Meskipun dirancang dalam masa yang singkat namun ia dapat berjalan dengan baik. Makan tengahari nasi gulai kawah yang disediakan oleh En Arif pun begitu lazat sekali.
Terima kasih kepada semua yang terlibat dan tidak lupa juga kepada penyumbang derma.

Jazakumullahukhairan.

Ustaz Razak Busu
Pengerusi Surau
Fatimah Az-Zahra.

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1429H

Pada 30 Mac 2008 pihak Ajk Surau Fatimah Az-Zahra telah mengadakan perarakan Maulidur Rasul s.a.w 1429H. Alhamdulillah semua pihak di Taman Inderasempurna memberikan sambutan meriah.
Program dimulakan dengan tazkirah Subuh oleh Ustaz Zuridan Mohd Daud. Kemudian minum pagi jam 7.30am. Jam 8.00am perarakan bermula. Jam 9.30am ceramah oleh pengerusi surau Ustaz Abd Razak Busu. Lebih kurang jam 11.00am program tamat.