Selasa, 23 Ogos 2011

Tip Tinggalkan Rumah Untuk Balik Beraya

Beberapa hari lagi ramailah penduduk Perkampungan Indera Sempurna akan meninggalkan rumah untuk balik berhari raya. Maka ada kebimbangan atas keselamatan rumah dan harta benda yang ditinggalkan. Oleh itu, disini ada sedikit tip keselamatan untuk perhatian semua penduduk Indera Sempurna dan kepada pembaca blog ini untuk dipraktikkan iaitu:

1) Membuat solat hajat bagi memohon perlindungan daripada Allah SWT,
2) Minta bantuan dari jiran-jiran yang tidak pulang ke kampung untuk mengawasi rumah anda semasa ketiadaan anda di rumah,
3) Pastikan semua kunci bilik, pintu utama dan pintu dapur berkeadaan baik,
4) Pasangkan kunci tambahan atau sistem penggera keselamatan (sekiranya berkemampuan)
5) Jangan sembunyikan kunci di bawah alas kaki, di dalam pasu bunga atau di atas kotak meter electric di luar rumah anda,
6) Pastikan semua perkakasan elektrik ditutup (sebaikkan semua plug ditanggalkan),
7) Pastikan Gas ditutup,
8) Pastikan semua tingkap ditutup,
9) Pastikan semua pintu bilik, pintu dapur,pintu utama dan pintu pagar dikunci dengan baik,
10) Bagi yang memelihara haiwan peliharaan seperti kucing, pastikan ianya tidak terperangkap dalam rumah.
11) Berdoa sebelum meninggalkan rumah dan memulakan perjalanan.

Semoga perjalanan kita selamat, rumah kitapun selamat atas perlindungan Allah....

Ahad, 21 Ogos 2011

RIAK & UJUB MEROSAKKAN PAHALA AMAL

Hadis Nabi yang bermaksud;

“Sesungguhnya ada orang yang mati syahid yang akan dihumbankan ke dalam API NERAKA pada hari kiamat nanti. Lalu dia merasa hairan dan mengadukan halnya kepada Allah SWT sambil berkata: Wahai Tuhanku! Bukankah aku telah mati syahid dalam membela agamaMu? Allah SWT menjawab (TIDAK) Sebenarnya engkau sanggup mati syahid supaya engkau dikatakan seorang yang berani. Dan telahpun dikatakan orang demikian kepadamu. Maka, itulah ganjaranmu.”

Melakukan sesuatu amalan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk, supaya dipuji orang dan untuk mendapatkan sesuatu ganjaran disisi manusia itulah ciri-ciri orang yang mempunyai sifat RIAK.

Manakala UJUB pula merupakan penyakit hati yang mana berasa bangga dengan diri sendiri . Merasakan diri sendiri mempunyai kemuliaan dan kebesaran lalu memandang orang lain dengan pandangan kehinaan atau kekurangan.

Kedua-dua sifat ini sekiranya ada pada diri seseorang itu, maka akan tertolakkah pahala amalannya. Oleh itu, dalam kita berlumba-lumba untuk mengerjakan amal-amal soleh di hari-hari akhir bulan Ramadan ini, marilah kita bersama-sama bersihkan diri kita daripada dua sifat ini mudah-mudahan amalan yang kita lakukan benar-benar ikhlas kepada Allah SWT. Apa yang diharapkan adalah keredhaan daripada Allah SWT.

Jumaat, 19 Ogos 2011

Zakat Fitrah


Zakat Fitrah adalah zakat yang diwajibkan sempena berakhirnya bulan Ramadan mengikut syarat-syarat yang ditentukan.

Nabi SAW bersabda melalui riwayat Ibn Umar:
"Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas orang yang merdeka, hamba sahaya lelaki, perempuan dan kaum Muslimin."

Syarat Wajib Zakat Fitrah:

1) Islam (bukan Islam tidak diwajibkan berzakat)
2) Merdeka (hamba tidak wajib mengeluarkan zakat)
3) Mempunyai harta lebih daripada keperluan untuk diri dan tanggungan pada hari raya dan malamnya.

Waktu dan hukum membayar zakat fitrah:

1) Dibolehkan - Dari awal Ramadan sehingga akhir bulan Ramadan
2) Wajib - Selepas terbenam matahari pada akhir Ramadan
3) Afdal - Selepas solat Subuh sehingga sebelum mengerjakan solat sunat Aidilfitri
4) Haram - Selepas solat sunat Hari Raya Aidilfitri

Kadar Bayaran Zakat Fitrah

1) Kadar bayaran mengikut kadar asal ialah 1 gantang Baghdad makanan asasi sesuatu tempat seperti beras atau gandum.
2) Mengikut sukatan / timbangan sebanyak 2.27 kilogram bersamaan nilai mengikut kadar nilai matawang semasa.

Ceramah Nuzul Al-Quran


Ceramah Nuzul Al-Quran pada kali ini telah disempaikan oleh Pendakwah Bebas yang tidak asing lagi iaitu Al Fadhil Ustaz Hj Rojhan Bin Hj Razali. Ceramah yang bermula selepas solat terawih telah menarik minat jemaah di atas kepetahan penceramah yang diselang-selikan dengan sedikit jenaka.

Apa yang penting adalah pengisian yang telah disampaikan oleh penceramah berkenaan kehebatan Al-Quran, Muhasabah berkenaan umat Islam hari ini terhadap Al-Quran, Bagaimana menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk hidayah untuk kita.

Mengagungkan Al-Quran, Mempelajari, Membaca, Memahami, Mengkaji dan memperjuangkan Al-Quran....






Majlis Berbuka Puasa


Nasi Putih, Gulai Kambing, Ikan Masin, Acar dan Sambal Belacan merupakan menu utama majlis berbuka puasa anjuran AJK Surau. Di samping kuih muih dan juga Tajaan Minuman daripada 100Plus.

Pihak Surau mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis berbuka puasa ini.





Khamis, 18 Ogos 2011

Skuad Prihatin Salur Sumbangan...





Meneruskan kesinambungan pada Ramadhan lalu, Skuad Prihatin semalam telah mengunjungi beberapa rumah Ibu Tunggal dan mereka yang kurang berupaya bagi menyalurkan sumbangan. Mereka ini dipilih berdasarkan maklumat daripada KRT dan jiran terdekat dengan sedikit penilaian bagi memastikan mereka ini benar-benar layak menerima sumbangan.

Disamping menyampaikan sumbangan, Skuad yang diketuai oleh Pengerusi Surau, Ustaz Ayob sempat juga berdakwah mengajak mereka dan ahli keluarga untuk datang berjemaah di surau dan mengikuti kuliah-kuliah serta program-program yang dijalankan.

Semoga dengan sumbangan ini dapatlah sedikit sebanyak meringankan beban mereka. Pihak surau juga mengalu-alukan penduduk di Indera Sempurna ini untuk memberi maklumat sekiranya masih ada keluarga yang kurang bernasib baik untuk pihak surau menguruskan bentuk bantuan yang dapat disalurkan. Sebarang pertanyan dan maklumat lanjut bolehlah berhubung dengan En. Hanafi Bin Jantan (AJK Biro Kebajikan & Kemasyarakatan dan juga Pengerusi KRT Fasa 2) di no. 013-9818266.







Selasa, 16 Ogos 2011

Bantulah Palestin......


Alhamdulillah... Sepertimana yang telah dirancangkan dengan kerjasama Haluan Palestin, Sheikh Palestin, Sheikh Ali Al Khotibi Al Hafeez telah mengunjungi Surau Fatimah Az-Zahra bagi Mengimami Solat Terawih dan menyampaikan Tazkirah. Beliau baru berusia 19 tahun, hafiz ketika usia 15 tahun dan sedang melanjutkan pelajaran di Al-Azhar.

Solat Terawih walaupun ringkas tetapi dapat dirasakan seolah bersembahyang di negara Arab... (betul ke?).Tazkirah beliau telah diterjemahkan oleh Sheikh Mohd. Rohaimi Bin Ibrahim (Ustaz Rohaimi).

Di antara kandungan tazkirah beliau ialah berkenaan kelebihan bulan ramadan, peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam bulan Ramadhan dan yang paling penting ialah keadaaan semasa di Palestin. Dimana bekalan makanan dan ubatan tidak mencukupi, bekalan air yang tercemar. Penduduk dikejutkan dengan bunyi tembakan dan letupan. Ada juga anak-anak yang tidur pada malamnya dan apabila sedar kedua ibu-bapanya telah syahid... Sungguh menyedihkan...

Di akhir tazkirah, beliau menyeru sahabat-sahabat saudara seIslam untuk membantu Palestin.... BANTULAH PALESTIN..






Jumaat, 12 Ogos 2011

Khamis, 11 Ogos 2011

PERKARA-PERKARA SUNAT KETIKA BERPUASA

1) Menyegerakan berbuka puasa,

2) Berbuka puasa dengan buah tamar atau juadah manis yang lain,

3) Membaca doa sekurang-kurangnya "Ya Allah, Bagi Engkaulah amalan puasaku ini, kepada Engkau aku beriman dan dengan rezeki Engkaulah aku berbuka,"

4) Melambatkan sahur kerana ada padanya berkat,

5) Membanyakkan membaca Al-Quran, berzikir, berselawat dan membuat amal kebajikan,


6) Sentiasa bersedekah kepada fakir miskin dan anak-anak yang kurang bernasib baik,

7) Menjauhkan percakapan yang sia-sia dan perbuatan yang tidak membawa manfaat,

8) Mandi junub lebih awal, sebelum masuknya waktu Subuh.

Rabu, 10 Ogos 2011

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA


1) Makan atau Minum dengan sengaja meskipun sedikit (jika telupa, tidak membatalkan puasa tetapi wajib berhenti sewaktu menyedari bahawa diri sedang berpuasa),

2) Memasukkan dengan sengaja sesuatu benda ke dalam rongga yang terbuka,

3) Muntah dengan sengaja,

4) Keluar haid dan nifas,

5) Gila,

6) Murtad (keluar daripada Islam),

7) Mengeluarkan mani dengan sengaja,dan

8) Bersetubuh (melakukan hubungan kelamin pada siang hari bulan Ramadan)

Isnin, 8 Ogos 2011

MEREKA YANG DIBENARKAN MENINGGALKAN PUASA

1) Orang yang hilang daya upaya untuk berpuasa seperti sakit perut dan sakit kepala yang serius serta jenis-jenis penyakit yang apabila berpuasa akan menambah keuzuran,

2) Orang musafir dalam perjalanan yang membolehkan qasar (memendekkan rakaat) solat,

3) Orang yang terlalu tua dan amat lemah untuk berpuasa,



4) Orang yang tersangat lapar dan dahaga sehingga kalau diteruskan akan mendatangkan mudarat umpamanya ia bekerja berat di tengah panas atau sebagainya,dan





5) Perempuan hamil atau menyusukan anaknya yang apabila berpuasa boleh memudaratkan dirinya sendiri atau anak yang disusui itu.

Jumaat, 5 Ogos 2011

MPK Taja Majlis Berbuka Puasa


Pengurusan Majlis Perbandaran Kuantan telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa di surau pada 5 Ogos 2011. Pihak AJK Surau mengucapkan terima kasih di atas kesudian pihak MPK supaya hubungan antara Masyarakat Setempat dengan MPK akan lebih mesra....






*Siapa-siapa yang belum bayar cukai taksiran, cepat-cepat la bayar....

Tahfiz Jemputan Jadi Imam Solat Terawih

AJK Surau bergambar dengan Iman Tahfiz (enam dari kiri)

TINGKATAN PUASA


Imam Al-Ghazali membahagikan puasa kepada tiga tingkat:

Pertama : PUASA UMUM

Puasa kebanyakan Umat Islam yang sekadar mampu menghindarkan perut daripada makan, minum dan menahan keinginan berjimak.

Kedua : PUASA ISTIMEWA (PUASA KHUSUS)

Puasa yang dapat memelihara mata, telinga, lidah, tangan dan kaki daripada melakukan dosa selain menahan diri daripada makan dan minum.

Ketiga : PUASA PALING ISTIMEWA (PUASA KHUSUS AL KHUSUS)

Merangkumi PUASA UMUM dan PUASA ISTIMEWA. Disempurnakan pula dengan puasa hati daripada semua keinginan lahir dan batin. Inilah puasa tertinggi kedudukannya di sisi Allah SWT dan merupakan amalan puasa Para Rasul, Nabi, Sahabat, Para Wali dan golongan Ahli Ibadah lain.

"Bersama memikirkannya...."