Jumaat, 18 September 2009

Rabu, 16 September 2009

Skim Rondaan Sukarela (SRS) - Taman Kita Tanggungjawab Kita

SRS adalah satu skim yang telah diwujudkan oleh kerajaan bukan hanya untuk mencegah jenayah tetapi mempunyai objektif yang lebih luas lagi iaitu :

1) Membantu mencegah jenayah dan menangani gejala sosial
2) Membantu menguatkuasakan undang-undang
3) Memberi perlindungan kepada nyawa dan harta benda
4) Mempertingkatkan semangat kejiranan di kalangan penduduk setempat
5) Memulihkan keadaan setempat agar menjadi aman dan sejahtera

Tanggungjawab untuk menyertai SRS ini adalah menjadi tanggungjawab semua penghuni Perkampungan Indera Sempurna tidak kita sama ada ianya tuan milik rumah ataupun hanya menyewa di perkampungan ini. Dengan berdaftar sebagai sukarelawan SRS, kita akan dilindungi dengan insuran dan juga mempunyai kuasa seorang Pegawai Polis berpangkat Konstable di kawasan perkampungan ini.

Justeru itu, sebagai menyahut seruan Ustaz Zuridan (Pengerusi Surau) dan Tn. Syed Osram (Bendahari), marilah kita beramai-ramai menjadi sukarelawan SRS sebagai langkah permulaan untuk kita menjalankan usaha amar maa'ruf nahi mungkar.

En. Awang (Pengerusi KRT) - Orang kuat SRS


Cikgu Mat Ganti sedang menyemak pendaftaran SRS
Pengerusi KRT - Ummp... hilang ngantuk pekena kopi kapal api ni...

Tn. Syed Osram dan En. Hissan...


En. Jefri dengan gaya Polis berpangkat Konstable...


En. Azman sedang membuat soal siasat terhadap kenderaan yang masuk sambil diperhatikan oleh En. Awang.. ada X ada segalanya...lepas raya ni kita X lagi... Hj. tu tumpang bergambar je...

Isnin, 14 September 2009

Ayuh Sahut Seruan Beramar Ma'aruf dan Nahi Mungkar

Assalamualaikum;

Dalam tazkirahnya pada malam 25 Ramadhan, Al-Ustaz Zuridan Mohd Daud selaku pengerusi Surau Fatimah Az-Zahra memberi peringatan kepada kita semua penduduk Taman Indera Sempurna akan kepentingan berbuat ma'ruf dan mencegah kemungkaran. Saya bukanlah orang yang terbaik untuk mengulang kembali apa yang disampaikan oleh Al-Ustaz. Namun,sebagai tanda sokongan terhadap Al-Ustaz dalam isu ini, saya mengajak sekali lagi agar dapat kita realisasikan kehendak Al-Ustaz dan umumnya apa yang dituntut dalam Islam tentang kewajipan ini yang semakin dipandang ringan oleh sebahagian daripada kita.

Ketahuilah saudaraku, bahawa Allah Ta'ala menjanjikan kebaikan dunia dan akhirat terhadap umat ini, khususnya penduduk Indera Sempurna hanya apabila kita menunaikan kewajipan beramar ma'ruf dan nahi mungkar. Kebaikan yang selama ini kita harap dan cari selama ini rupanya bukan hanya semata-mata kerana kita telah beriman dengan Allah Ta'ala begitu sahaja tetapi ianya juga terletak dalam amalan, antaranya amalan amar ma'ruf dan nahi mungkar. Demikianlah firman Allah Ta'ala:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللّهِ
“Kamu adalah umat terbaik dikeluarkan kepada manusia , kamu menyuruh melakukan perkara ma’ruf dan kamu menegah daripada kemungkaran dan kamu beriman dengan Allah” – Al-Imran:10.
Ayat diatas difahami bahawa Allah Ta'ala mengaitkan kebaikan sesuatu umat itu dengan amalan amar ma'ruf nahi mungkar dengan keimanan pada Allah. Kemudian Allah Ta'ala juga menentukan kejayaan kita dunia dan akhirat apabila terdapatnya dikalangan kita orang yang mendirikan amalan amar ma'ruf dan nahi mungkar didalam masyarakat.
Bermaksud jika ada sebahagian daripada kita menjalankan kerja dakwah menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran hendaklah kita menyokong daripada segala aspek yang termampu oleh kita bermula dari kuasa mencegah yang ada pada sebahagian kita, dan keupayaan berinteraksi dengan kaedah teguran yang berhikmah dan paling tidak, adanya menaruh perasaan benci terhadap kemungkaran yang berlaku itu sudah cukup membuatkan kita mengecapi kejayaan yang dijanjikan Allah Ta'ala.
Kebencian dalam hati kepada perbuatan mungkar menurut ulama adalah wajib hukumnya kerana ianya adalah natijah kepada keimanan. Kerana amalan walaupun sebesar zarah akan dipersaksikan dan keimanan yang sebesar zarah pastinya mendapat tempat disisi Allah Subhanahu wa Ta'ala. Bila tiada kebencian itu sudah cukup membuktikan keimanan sudah hilang dalam hati kita.Wal'iya dzubillahmin dzalik.
Ini kerana antara sifat-sifat seorang mukmin dan mukminat adalah membiasakan diri dengan amalan ini sebagaimana firman Allah Ta'ala:
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاء بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللّهَ وَرَسُولَهُ أُوْلَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللّهُ إِنَّ اللّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat dan mereka ta'at pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.- Surah At-Taubah:71
Dalam hal ini, kewajipan beramar ma'ruf dan nahi mungkar bukan sahaja terletak dibahu kaum lelaki, malah perlu mendapat dokongan daripada kaum wanita. Masing-masing berupaya menampung setiap inci daripada ruang kelemahan yang ada pada setiap diri mereka. Hendaklah kaum wanita juga memainkan peranan ini, sebagai isteri, ibu dan kawan-kawan kepada wanita lainnya. Allah Ta'ala juga mengaitkan rahmat kasih sayang-Nya kepada sesuatu umat selama mana umat itu tetap mendirikan amar ma'ruf dan nahi mungkar. Apabila hilangnya kewajipan ini pada setiap dikalangan kita maka kita akan berada jauh daripada rahmat Allah Ta'ala sebagaimana yang berlaku kepada kaum Bani Israel terdahulu.
Ketika kemungkaran berleluasa tiada mereka saling menegah dan tiada mereka endahkan bahkan mereka menganggap kemungkaran itu sebagai kebaikan, dan kebaikan itu pula dianggap kemungkaran disisi mereka, kebaikan adalah sesuatu yang asing dan malah lebih teruk mereka membela akan kemungkaran itu. Membela kemungkaran adalah sifatnya orang-orang yang kufur dikalangan Bani Israel, sedihnya inilah yang berlaku pada hari ini. Semoga kita dijauhi dari laknat Allah Ta'ala.
Seruan ini tidak lain tidak bukan selain daripada suruhan Allah Ta'ala ianya bertujuan menaikkan ketinggian dan kemulian umat Islam dikala kita menerima penghinaan dan dipandang rendah oleh mereka yang sememangnya tidak mahu melihat kebaikan, kejayaan, dan rahmat kasih sayang daripada Allah Ta'ala tertimpa ke atas kita.Firman Allah Ta'ala:
فَلَوْلاَ كَانَ مِنَ الْقُرُونِ مِن قَبْلِكُمْ أُوْلُواْ بَقِيَّةٍ يَنْهَوْنَ عَنِ الْفَسَادِ فِي الأَرْضِ إِلاَّ قَلِيلاً مِّمَّنْ أَنجَيْنَا مِنْهُمْ وَاتَّبَعَ الَّذِينَ ظَلَمُواْ مَا أُتْرِفُواْ فِيهِ وَكَانُواْ مُجْرِمِينَ
" Maka mengapa tidak ada dari umat-umat yang sebelum kamu orang-orang yang mempunyai keutamaan yang melarang daripada berlaku kerosakan di muka bumi, kecuali sebahagian kecil di antara orang-orang yang telah Kami selamatkan di antara mereka, dan orang-orang yang zalim hanya mementingkan kenikmatan yang mewah yang ada pada mereka, dan mereka adalah orang-orang yang berdosa" - Surah Hud:116.
Ayuh ! Mari kita jalankan kewajipan ini dan beristiqamah padanya. Jika kita jaga Allah nescaya Allah menjaga kita, jangan takut kepada ugutan dan cercaan musuh daripada kalangan jin dan manusia, kerana sesungguhnya Allah Ta'ala akan membalas ugutan dan cercaan mereka. Ketahuilah balasan Allah itu lebih dahsyat daripada apa yang kita dan mereka fikirkan.
Wassalamu'alaikum.

Ahad, 13 September 2009

Iftar Jamaaie bagi meraikan imam, bilal dan petugas Ramadan

Pada 12 September 2009 pihak Surau telah mengadakan majlis berbuka puasa (iftar jamaaie) bagi meraikan para imam, bilal dan petugas Ramadan pada tahun ini. Majlis yang diadakan secara sederhana itu diadakan sempena program Iktikaf dan qiamullail yang diadakan pada pagi 13 September sempena dengan 23 Ramadan. Alhamdulillah program berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan.















































Sabtu, 12 September 2009

Program Iktikaf dan Qiamulail

Tarikh : 15 September 2009 / 25 Ramadan 1430 (Selasa Pagi)
Masa : 3:30 - 4:30 Pagi
Tempat Surau Fatimah Az-Zahra


Semua Jemaah Indera Sempurna Dijempu hadir.
Marilah tingkatkan amalan di akhir-akhir Ramadan ini... mudah-mudahan kita bertemu dengan malam lailatur Qadar....

Rabu, 9 September 2009

Selasa, 8 September 2009

Mengfungsikan kembali Al-Quran

Realiti umat Islam hari ini dalam beramal dengan Al-Quran adalah seumpama seorang pegawai keselamatan yang bersenjata tetapi terlupa akan senjatanya atau sengaja tidak mahu menggunakannya apabila berdepan dengan penjenayah. Akibatnya penjenayah tersebut tidak lansung merasa takut, malah berani melakukan jenayah sewenang-wenangnya!Begitulah waqi umat Islam yang rata-rata tidak mampu bangkit menjadi satu kuasa yang boleh menggerunkan musuh-musuhnya malah tidak berdaya menangkis serangan demi serangan yang dlakukan ke atas umat Islam dan negara-negara Islam samada dalam bentuk serangan pemikiran mahupun serangan ketenteraan. Kelemahan yang melanda umat Islam ini merangkumi pelbagai aspek kehidupan samada dalam aspek ekonomi, pendidikan, perundangan, ketenteraan mahupun politik. Ini ditambah pula dengan keruntuhan nilai dan budaya yang semakin parah melanda umat Islam. Semua ini adalah berpunca dari keengganan umat Islam kembali kepada sumber kekuatan mereka yang sebenar iaitu Al-Quranul Kareem.Syeikh Muhammad al-Ghazali di dalam bukunya ‘Kaifa Nata ’aamalu Ma ’a al-Quran’ (Bagaimana kita berinteraksi dengan Al-Quran) telah menyatakan bahawa situasi umat Islam hari ini agak pelik kerana mereka hanya menganggap bahawa tanggungjawab terhadap Al-Quran ialah membacanya sahaja dan tidak melebihi halqum mereka. Maka tidak hairanlah pada hari ini majoriti umat Islam cenderung kepada mempelajari ilmu tajwid, bertarannum dan mengadakan musabaqah tilwayah. Malah jika terdapat golongan ilmuan Islam di menara gading yang mengkhusus dalam bidang Al-Quran mereka lebih cenderung menjadikan Al-Quran bahan untuk membuat kajian ilmiah sahaja tetapi amalan dan tingkah laku mereka tidak mencerminkan keperibadian al-Quran. Sedangkan erti membaca atau ’Qara a’ bukan sekadar tillawah malah ia memberi erti memahami dan bertadabbur seterusnya menjadikan Al-Quran sebagai sumber kepada sistem kehidupan. Firman Allah Taala:

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آَيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: Ini adalah sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatNya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran. Surah Shaad : 29.Natijah dari kecenderungan menjdikan Al-Quran sebagai bahan bacaan dan bertarannum sahaja telah menyebabkan umat Islam hanya merujuk Al-Quran apabila tibanya majlis-majlis kebesara Islam, kematian, menjadi pembuka majlis, digunakan sebagai alat rawatan gangguan makhlus halus dan dijadikan perhiasan di dinding-dinding rumah sahaja. Ramai di kalangan umat Islam tidak memahami apa yang mereka baca dan tidak tahu apakah sebab turun ayat-ayat di dalam Al-Quran. Justeru itu umat Islam tidak mampu mengolah Al-Quran sehingga menjadi rujukan dalam menentukan asas kepada sistem kehidupan mereka dan panduan di dalam menyelesaikan pelbagai kemelut yang melanda umat Islam.Fungsi Al-Quran sebenarnya telah dinyatakan sendiri oleh Allah Taala melalui firmanNya:

وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا. وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآَنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا

Maksudnya: Dan Katakanlah: "Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap". Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian. Surah Al-Isra:81-82.Menurut ahli tafsir seperti Imam Al-Tabari yang dimaksudkan dengan Al-Hak (Kebenaran) di dalam ayat di atas ialah Al-Quran. Ini adalah kerana Al-Quran mengandung semua perkara kebenaran dan tiada sebarang pembohong kerana ianya merupakan kalam Allah Tuhan Yang Maha Suci dari sifat-sifat tercela seperti berbohong. Oleh itu segala kisah-kisah silam, hukum-hakam, panduan-panduan kehidupan dan khabar berita mengenai hari qiamat, padang mahsya, hisab, syurga dan neraka adalah benar semuanya.Imam Ibnu Katsir pula telah menguraikan fungsi Al-Quran sebagai Syifa dengan katanya : “Allah Taala telah menerangkan tentang KitabNya kepada Nabi Muhammad s.a.w bahawa ia (Al-Quran) adalah merupakan penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. Iaitu (Al-Quran) mampu membuag penyakit-penyakit di dalam hati manusia seperti rasa syak dan sifat munafik, syirik, penyelewengan dan kesesatan. Al-Quran menjadi penyembuh kepada semua penyakit tersebut. Al-Quran juga menjadi satu rajmat yang dengannya akan membawa kepada keimanan, hikmah, kebaikan dan keinginan tinggi untuk melakukan sesuatu kebaikan.Berdasarkan huraian Imam Ibnu Katsir di atas adalah amat jelas kepada kita bahawa Al-Quran bukanlah kitab yang sekadar dituntut kepada kita membacanya sahaja. Tetapi ia berfungsi menjadi dasar kepada ilmu pengetahuan yang dengannya akan menjadikan umat Islam sentiasa bertindak di atas landasan ilmu dan rasional serta terhindar dari rasa ragu dan tidak percaya kepada hukum-hukum Allah yang memiliki sifat suci dari sebarang kelemahan. Rasa syak dari ragu kepada kemampuan hokum-hukum Al-Quran untuk dilaksanakan sepenuhnya pada hari ini adalah berpunca dari hati yang berpenyakit. Kerana keraguan seumpama ini adalah merupakan titik tolak kepada lahirnya sifat munafik seterusnya mewujudkan golongan munafik yang mendakwa diri mereka muslim dan kononnya mahukan Islam tetapi hati mereka amat ragu terhadap Islam malah menyimpan kebencian terhadap syariat Islam. Islam hanya dijadikan rujukan di dalam perkara yang dirasakan sesuai dengan hidup mereka sahaja. Manakala jika bertembung antara kehendak nafsu mereka dengan Al-Quran maka Al-Quran diabaikan dengan pelbagai alasan dan helah.Allah SWT telah menempelak golongan yang mendakwa beriman tetapi mereka hanya mempraktikkan sebahagian hukum Al-Quran dan menolak sebahagian yang lain dengan firmanNya:

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
Maksudnya :Apakah kamu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan kepada siksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat . Surah Al-Baqarah : 85.Ayat di atas meskipun diturunkan kepada kaum Yahudi namun pengajarannya adalah umum merangkumi umat Nabi Muhammad s.a.w. Dalam ertikata lain sikap dan tingkahlaku golongan Yahudi yang menolak sebahagian hukum-hukum yang terkandung di dalam Taurat telah menyebabkan mereka menjadi bangsa yang hina . Begitulah juga apa yang bakal menimpa malah sudah menimpa umat Islam hari ini. Rata-rata umat Islam di mana sahaja mengkesampingkan dan menghadkan peranan Al-Quran. Malah ada yang merasakan bahawa Al-Quran hanya wajar dibaca untuk mendapat berkat sahaja dan untuk mengiringi orang yang baru meninggal dunia. Di peringkat pemerintah negara-negara Islam pula ramai pemimpin yang melihat Al-Quran sebagai bahan untuk bersumpah dan cara terbaik untuk berselindung bagi menzahirkan diri kononnya mereka mahukan kepada Islam agar sokongan orang Islam terhadap mereka terus kekal. Sedangkan dalam sistem ekonomi, pendidikan, undang-undang dan politik dirujuk kepada ideologi-ideologi ciptaan manusia yang bersumberkan falsafah yang sesat lagi menyesatkan. Malah tingkahlaku dan cara hidup mereka tidak mencerminkan keperibadian Al-Quran, sedangkan Nabi s.a.w sebagai contoh terbaik kepimpinan Islam apabila diminta kepada Asiyah r.a menceritakan akhlak baginda, Aisyah r.a berkata : ”Akhlak baginda adalah Al-Quran!.

Ceramah Nuzul Quran

Majlis Ifthar Ramadhan Surau Fatimah Az-Zahra '2009

Majlis Berbuka Puasa Surau Fatimah Az-Zahra '2009.


Assalamualaikum;

Antara hasil daripada keputusan Mesyuarat AJK Surau pada 4hb September lepas ialah mengadakan Majlis Ifthar Ramadhan atau Majlis Berbuka Puasa. Alhamdulillah, setelah pelbagai cadangan dan idea daripada ahli-ahli mesyuarat dipertimbangkan untuk menjayakan majlis tersebut akhirnya majlis berbuka puasa berjaya dilaksanakan dengan izin Allah Ta'ala.

Pada 6hb September 2009, Majlis Ifthar Ramadhan Surau Fatimah Az-Zahra '2009 berlangsung dengan jayanya. Namun kali ini ianya agak berbeza, dimana pihak Surau Fatimah Az-Zahra hanya menyediakan minuman, tamar dan buahan-buahan sementara nasi dan lauk-pauk disediakan oleh ahli jemaah surau Perkampungan Indera Sempurna yang dibawa dari rumah masing-masing.

(Maaflah kamera tak power......)

Antara Lauk-Pauk Yan Sempat Dirakamkan...fuh ada kerabu tu ...




Buahan seperti tembikai, pisang dan juga kurma yang disediakan pihak surau.



Kuih-muih turut dihidangkan bersama buahan....


Alhamdulillah, sambutan yang menggalakan daripada ahli jamaah surau kerana banyak juga nasi dan lauk-pauk yang enak-enak dibawa dari rumah masing-masing untuk dinikmati bersama-sama dalam Majlis Ifthar Ramadhan di Surau Fatimah Az-Zahra kali ini. Kehadiran agak terhad bilangannya memandangkan kami tidak mewar-warkan secara menyeluruh melainkan sekitar ahli jamaah surau sahaja dari kalangan penduduk tempatan. Ini kerana hasil putusan mesyuarat, majlis ini dibuat secara kecilan berikutan beberapa faktor yang menghalang seperti masa dan sumber tenaga. Seperti biasa anak-anak kita, turut bersama meraikan majlis berbuka puasa. Inilah pelapis bagi memastikan kesinambungan program-program surau setelah ketiadaan kita. Insyallah ! mungkin tahun depan kita akan melaksanakan secara grand atau besaran dengan pelbagai program bermanafaat untuk menjalin hubungan persaudaraan antara sesama penduduk-penduduk Taman Indera Sempurna.


Antara petugas dan hadirin yang datang menguruskan hidangan berbuka...yang duduk tu Ustaz Hafizi....letih setelah menyapu dan mengemas ruangan hadapan storan.



Ha...ini anak-anak kita para jamaah surau. Seperti biasa anak-anak adalah antara yang paling seronok ketika berkumpul beramai-ramai dan menghadap hidangan.



Ini yang dihormati Ustaz Zuridan, pengerusi surau dan ketua majlis mesyuarat AJK duduk sebelahnya Saudara Redhuan AJK Surau.

Setelah berbuka puasa dengan makanan yang ringan seperti buahan dan kurma, program seterusnya adalah solat maghrib berjamaah. Solat maghrib berjamaah di bulan puasa, adalah antara menu yang tidak terdapat dimana-mana tempat selain masjid-masjid dan surau-surau. Walaupun solat berjamaah boleh dilakukan dirumah, tetapi hikmahnya lebih banyak didapati di sini.

Majlis Berbuka Puasa diteruskan setelah selesai solat dengan hidangan yang sedikit berat seperti nasi dan lauk-pauk. Maklumlah, perut Melayu....kalau tak ada nasi tak jadi bagaimanapun firman Allah Ta'ala bermaksud: "Makanlah dan minumlah dan jangan kamu berlebihan.."

Dikesempatan ini kami pihak AJK Surau Fatimah Az-Zahra, mengucapkan ribuan terima kasih kepada penduduk-penduduk sekitar Indera Sempurna kerana menjayakan majlis ini, serta memberi sumbangan-sumbangan yang berupa juadah berbuka puasa, wang ringgit dan juga tenaga kerja. Semoga Allah Ta'ala membalasnya untuk anda semua dengan kebaikan dan keberkatan dalam kekeluargaan dan harta benda.

Sekian

Wassalam

Jumaat, 4 September 2009

Mesyuarat AJK Surau

Tarikh : 4 September 2009 (Jumaat)
Masa : Selepas solat terawih
Tempat : Surau Fatimah Az-Zahra

Agenda :
1) Nuzul Al-Quran dan Majlis Berbuka Puasa
2) Bantuan Fakir Miskin
3) Solat Hari Raya

Semua AJK dijemput hadir...