Alhamdulillah. Saya ingin mengambil peluang ini untuk turut serta menyeru kepada penduduk Indera Sempurna khususnya, agar dapat melapangkan sedikit masa untuk menghadirkan diri bersama keluarga di Surau Fatimah Az-Zahra. Disamping menunaikan solat secara berjamaah, pada masa yang sama dapat juga kita memenuhi tuntutan yang lebih besar iaitu menuntut ilmu.
Sebelum ini, saudara kita Encik Redhuan telah meletak satu entri berkenaan dengan kuliyah fekah yang dikuliyahkan oleh Al-Fadhil Al-Ustaz Zuridan Mohd Daud. Kitab yang dijadikan bahan kuliyah adalah kitab Fiqh Manhaji Imam Syafi’e. Kali ini saya juga agak terpanggil untuk meletakkan satu entri berkenaan dengan kuliyah aqidah yang diadakan di Surau Fatimah Az-Zahra. Kuliyah aqidah ini diadakan pada setiap malam Jumaat selepas solat maghrib. Kitab yang digunakan adalah Asas Aqidah Islam, sebuah kitab keluaran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang dikuliyahkan oleh Al-Fadhil Al-Ustaz Hafizin , merupakan tenaga pengajar Kolej Professional Mara, Indera Mahkota.
Siri kuliyah akidah ini telah masuk siri ke 5 dan telah saya rekodkan untuk Biro Penerbitan Surau Fatimah Az-Zahra. Apa yang menariknya disini adalah kaitan antara kuliyah aqidah dan kuliyah fekah dan juga kuliyah-kuliyah lainnya.
Kaitan ini disebutkan oleh Al-Fadhil Al-Ustaz Zuridan dalam kuliyah fiqhnya, kitab Fiqh Manhaji Imam Syafi’e dalam bab Kaitan Feqah dengan Aqidah Islam. Kaitannya adalah bahawa akidah keimanan menjadikan seorang muslim itu berpegang teguh dengan hukum-hukum agama, barangsiapa yang tidak beriman tidak akan tertuntun untuk melakukan solat dan juga puasa, tidak akan mengatur perbuatannya dalam halal dan haram. Maka beriltizam dengan hukum-hukum syariat adalah cabang daripada iman. Begitu juga dalam kuliyah akidah oleh Al-Fadhil Al-Ustaz Hafizin juga menyebut perihal yang sama tentang kepentingan akidah dan kaitannya dengan amal. Beliau menyebut ketika masuk dalam bab Islam, Iman dan Amal, bahawa iman itu adalah tapak bagi tuntutan syariat dan amal itu adalah kerja hasil daripada iman.
Perkaitan ini membuktikan pentingnya kedua-dua kuliyah ini, yang tak mungkin kita boleh membuat pilihan antara keduanya, samada meninggalkan atau memilih salah satu darinya. Kedua-dua ilmu inilah yang biasa kita gambarkan ibarat isi dan kulit, tidak mungkin kita boleh mengambil isinya dan meninggalkan kulitnya atau mengambil kulitnya dan meninggalkan isinya. Perbuatan sebegini akan mencacatkan orang Islam itu sendiri dan kita tidak akan merasa nikmat Islam yang luas, merangkumi nikmat kebahagian dunia dan akhirat.
Bagaimanapun ini tidak bermaksud kuliyah-kuliyah lain tidak ada kepentingannya seperti kuliyah hadis Nabi saw, kuliyah sirah Nabi Saw dan lain-lainnya, kerana kuliyah-kuliyah ini juga mempunyai asasnya dalam pembentukan peribadi muslim. Sebagai contoh, kuliyah Hadis 40 Imam Nawawi oleh Al-Fadhil Al-Ustaz Joha Abdul Wahab yang diadakan pada setiap malam Isnin. Kuliyah ini sebenarnya mengikut pendapat ulama ada yang mengatakan bahawa ilmu ini mengandungi keseluruhan asas tentang Islam, dan juga ada mengatakan sebahagian daripadanya dan paling sedikitpun adalah 1/3 daripada asas Islam. Kuliyah Hadis 40 boleh dipecahkan kepada 6 perkara yang berkaitan dengan Islam dan kesemuanya adalah asas dan tapak kepada pemahaman Islam keseluruhannya iaitu aqidah, feqah, jihad, tasawwuf, adab, dan juga khutbah. Kita lihat kuliyah Hadis 40 ini sebenarnya juga mempunyai kepentingannya yang tidak boleh kita remehkan kerana dia mengabungkan feqah dan akidah secara umum yang boleh kita jadikan sebagai satu siri kuliyah pembayang bagi kuliyah-kuliyah lainnya.
Begitu juga dengan kuliyah Fiqh Sirah Nabawiyyah yang dikuliyahkan oleh Al-Fadhil Al-Ustaz Yazid Abdul Mohid. Kepentingan Fiqh Sirah juga tidak boleh diabaikan oleh setiap muslim, kerana kuliyah ini bukan bersekitar fakta sejarah semata-mata malah perkataan fiqh itu sendiri jelas menunjukkan tujuannya adalah suatu ilmu memahami keperibadian Rasulullah SAW yang terkandung didalamnya hakikat zahir dan batin tentang Islam. Mengkaji dan belajar sirah atau perjalanan kehidupan Nabi Muhammad SAW sepanjang hayatnya dalam membawa ajaran Islam boleh memberi gambaran yang jelas serta kefahaman yang baik terhadap prinsip-prinsip ajaran Islam samada akidahnya, hukum-hakamnya serta adab-adabnya. Nah ! segalanya berkaitan disini. Sekali lagi tidak wajar jika kita cuba memilih-milah antara siri-siri kuliyah yang diadakan sepanjang minggu di surau kita Fatimah Az-Zahra. Cuma yang saya fokuskan terhadap siri kuliyah akidah dan fekah kerana kedua-duanya itu satu kuliyah yang membincangkan secara detail tentang akidah dan fekah agar kita mendapat satu kefahaman yang jitu, iaitu sebenar-benar ilmu yang yakin tanpa syak, waham dan zhan.
Peluang sebegini hendaklah kita ambil, kerana bukan mudah hendak kita mempelajari ilmu tanpa bimbingan daripada ustaz-ustaz yang berilmu dan berkaliber. Bahkan pihak kami juga beriltizam untuk menyediakan satu bentuk kuliyah yang lebih kepada pembelajaran secara ilmiah iaitu pembelajaran duahala, talaqqi antara murid dan guru, kerana dengan cara begini ilmu lebih mudah dihadam oleh akal dan hati, yang tidak mungkin boleh dicapai hanya melalui pendengaran sahaja atau pembacaan sahaja.Oleh yang demikian bagi merealisasikan tujuan untuk melahirkan masyarakat yang berilmu di perkampungan kita, kami pihak AJK surau amat menggalakkan para jemaah serta penduduk yang menghadiri kuliyah-kuliyah di surau agar mendapatkan buku-buku untuk dijadikan rujukan dalam kuliyah-kuliyah yang berkenaan. Inilah budaya ilmu yang dipraktikkan oleh orang-orang yang terdahulu daripada kita dan hendaklah kita sambungkan dan wariskan budaya ini kepada anak-anak.
Justeru itu kami pihak AJK Surau Fatimah Az-Zahra mengajak dan menyeru tuan-tuan dan puan-puan, kakak-kakak, abang-abang, serta adik-adik sekalian agar dapat meluangkan masa untuk menghadiri kuliyah yang amat penting ini dalam mengatur dan memberi ketenangan hidup kita di dunia dan akhirat. Insyallah.
Wallahualam
Wassalamu’alaikum.
2 ulasan:
Terima kasih Tuan Syed atas ulasan yang mantop sekali...semoga kita sama-sama beriltizam menjadikan Surau Fatimah Az-Zahra sebagai sebuah Pusat Pengajian Ilmu yang terkenal satu masa nanti, InsyaAllah.
Alhamdulillah ustaz,terima kash atas respons yang positif. Insyallah, bersama kita semua merancangkan ke arah itu....mustahil ana dapat melakukannya seorang diri.
Catat Ulasan